Skip to content

Syarat-syarat umum untuk sijil halal.

Bahagian ini disebut oleh Jakim sebagai PROSEDUR NO.17 – KEPERLUAN UMUM UNTUK SIJIL HALAL. Prosedur ini menerangkan 17 syarat umum untuk mohon sijil halal atau kekal sebagai pemegang sijil halal.

Namun tidak kesemua syarat ini terpakai untuk anda kerana pemakaian syarat-syarat ini perlu juga mengambil kira faktor-faktor tertentu seperti jenis sijil halal yang anda pohon atau perolehi dan saiz operasi perniagaan anda. Anda boleh jadikan kesemua 17 syarat ini sebagai panduan umum untuk anda. Pilih topik berkaitan untuk penerangan lanjut.

(1) Bahan Mentah

(a) Setiap bahan mentah hendaklah dipastikan halal, selamat dan tidak tercemar;

(b) Bahan mentah yang bersumberkan haiwan dan/ atau berasaskan hasilan haiwan hendaklah dipersijilkan halal yang masih sah daripada pihak berkuasa berwibawa atau badan pensijilan halal yang diiktiraf;

(c) Bahan mentah yang bersumberkan haiwan dan/ atau berasaskan hasilan haiwan yang diimport (seperti daging lembu, daging ayam, gelatin dan lain-lain) hendaklah diperolehi daripada rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang diluluskan JPV;

(d) Bahan mentah yang tidak dipersijilkan halal atau dipersijilkan halal oleh badan pensijilan yang tidak diiktiraf JAKIM hendaklah mempunyai dokumen sokongan yang lengkap (mengandungi komposisi bahan, carta alir dan sumber bahan mentah);

(e) Setiap bahan mentah hendaklah dapat dikenal pasti pengeluar asal bahan mentah tersebut;

(f) Bahan mentah yang telah menjalani proses tambahan (seperti pemotongan, pra campuran, pembungkusan semula) oleh pihak ketiga termasuklah pembekal atau perantara hendaklah memiliki pensijilan halal yang sah;

(g) Semua bahan mentah hendaklah diisytiharkan dalam borang permohonan MYeHALAL secara terperinci sama seperti label pada bahan mentah tersebut;

(h) Bahan mentah hendaklah mempunyai label yang jelas, terang, boleh difahami serta tertera nama dan pengeluar bahan mentah;

(i) Bahan mentah yang digunakan hendaklah mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(j) Laporan analisis bagi penentuan kualiti air hendaklah dikemukakan sekiranya sumber air diperolehi selain daripada Jabatan Bekalan Air (jika berkaitan).

(2) Produk, Menu dan Perkhidmatan

(a) Produk yang dihasilkan hendaklah tidak menyerupai sebarang bentuk haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah, berunsurkan keagamaan dan memberi implikasi negatif kepada Pensijilan Halal Malaysia;

(b) Semua produk atau menu yang masih dihasilkan hendaklah dimohon SPHM;

(c) Nama produk atau menu yang diisytiharkan dalam borang permohonan MYeHALAL hendaklah sama sepertimana label produk atau paparan menu;

(d) Produk, menu dan perkhidmatan yang dimohon SPHM hendaklah dihasil atau dikendalikan secara konsisten serta mempunyai rekod pemprosesan dan/ atau pengendalian yang dikemas kini;

(e) Produk, menu dan perkhidmatan boleh digugurkan daripada senarai permohonan SPHM sekiranya tidak diproses atau tiada sebarang pengendalian perkhidmatan sepanjang tempoh sah laku SPHM terdahulu;

(f) Sukatan dan timbangan produk hendaklah memenuhi kadar kandungan atau kuantiti sepertimana dinyatakan pada label produk;

(g) Produk, menu dan perkhidmatan yang diproses atau dikendalikan hendaklah mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(h) Produk atau menu yang masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi telah sedia untuk dikomersialkan hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:

(i) Bahan mentah telah tersedia dan dapat disemak semasa
pengauditan atau pemantauan Pensijilan Halal Malaysia;
(ii) Tiada perubahan pada bahan mentah atau ramuan dan
pelabelan;
(iii) Telah dijalankan ujian percubaan (trial run atau pilot run) di
aliran pengeluaran (production line); dan
(iv) Diluluskan oleh pihak pengurusan syarikat.

(3) Pemprosesan

(a) Segala aktiviti berkaitan penyediaan dan pemprosesan bahan mentah, produk, menu atau perkhidmatan hendaklah memenuhi keperluan Hukum Syarak, perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa;

(b) Kawasan pemprosesan hendaklah bebas daripada sebarang bahan mentah atau produk tidak halal atau diragui status halal;

(c) Kawasan pemprosesan hendaklah tidak digunakan untuk tujuan lain selain daripada pemprosesan dan pengendalian produk yang dipersijilkan halal melainkan mekanisme kawalan halal dilaksanakan;

(d) Kawasan pemprosesan hendaklah bebas daripada sebarang aktiviti penghasilan produk untuk tujuan keagamaan yang memberi implikasi negatif kepada Pensijilan Halal Malaysia seperti penghasilan minyak sembahyang;

(e) Pemprosesan dan pengendalian hendaklah memenuhi keperluan amalan kebersihan yang baik seperti GHP dan/ atau amalan pengilangan yang baik seperti GMP;

(f) Kawasan pemprosesan hendaklah berada dalam keadaan bersih dan teratur pada setiap masa; dan

(g) Bahan kimia beracun atau berbahaya, bahan pencuci, peralatan dan barangan yang tidak berkaitan hendaklah tidak diletak atau disimpan bersama bahan mentah dan produk di kawasan pemprosesan tanpa kawalan.

(4) Penyimpanan

(a) Penyimpanan hendaklah dikhususkan untuk bahan mentah dan produk halal sahaja termasuklah produk dagangan (trading product);

(b) Penyimpanan bahan mentah, produk siap, bahan atau produk R&D, reject item dan lain-lain bahan seperti peralatan dan bahan kimia bukan makanan hendaklah diasing dan dilabelkan;

(c) Peralatan, bahan dan produk yang tidak berkaitan dengan pemprosesan atau penghasilan produk hendaklah tidak disimpan bersama-sama bahan mentah dan produk siap;

(d) Semua bahan dan produk hendaklah disimpan mengikut keperluan sifat bahan dan produk (nature of product) tersebut;

(e) Kawasan penyimpanan hendaklah berada dalam keadaan bersih dan teratur pada setiap masa;

(f) Kawasan penyimpanan hendaklah mempunyai prosedur dan rekod yang lengkap serta mempunyai penandaan yang jelas;

(g) Semua bahan dan produk hendaklah disusun atur dan dikawal selia dengan baik bagi memudahkan aktiviti pembersihan. Penggunaan alas seperti pallet perlulah bersesuaian;

(h) Kontrak atau perjanjian bertulis atau persetujuan bersama hendaklah diperolehi sekiranya penyimpanan diuruskan oleh pihak ketiga. Keutamaan hendaklah diberikan kepada penyedia perkhidmatan penggudangan yang memiliki SPHM;

(i) Sebarang aktiviti penyimpanan bahan mentah atau produk hendaklah mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(j) Proses sertu hendaklah dijalankan sekiranya kawasan penyimpanan tercemar dengan najis mughallazah.

(5) Peralatan dan Perkakasan

(a) Peralatan dan perkakasan hendaklah digunakan untuk pemprosesan dan pengendalian bahan mentah, produk dan perkhidmatan halal sahaja;

(b) Peralatan dan perkakasan yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap Pensijilan Halal Malaysia seperti penggunaan peralatan dan perkakasan berlabelkan produk arak hendaklah tidak digunakan;

(c) Peralatan dan perkakasan daripada sumber haiwan hendaklah tidak digunakan kecuali yang dikenal pasti status halal seperti penapis air, berus bulu, pinggan mangkuk dan lain-lain;

(d) Peralatan dan perkakasan hendaklah sentiasa dalam keadaan baik, bersih, bebas daripada najis, tidak mempunyai sebarang bahan mudarat (seperti toksik dan karat) dan tidak memberi kesan sampingan negatif terhadap produk serta pengendali;

(e) Peralatan dan perkakasan hendaklah mempunyai prosedur pembersihan dan penyelenggaraan secara berkala dan berjadual supaya sentiasa berkeadaan baik terutamanya alat timbang dan sukat;

(f) Peralatan dan perkakasan yang rosak atau tidak digunakan hendaklah dikenal pasti, dikeluar atau diasingkan;

(g) Peralatan dan perkakasan yang digunakan hendaklah bersesuaian serta mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(h) Proses sertu hendaklah dijalankan sekiranya peralatan dan perkakasan tercemar dengan najis mughallazah.

(6) Pembungkusan, Pelabelan dan Pengiklanan

(a) Bahan pembungkusan dan pelabelan hendaklah dipastikan halal, tidak mencemarkan produk dan selamat untuk kegunaan manusia;

(b) Pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan hendaklah tidak melanggar prinsip-prinsip Hukum Syarak, tidak menonjolkan unsur-unsur tidak sopan yang bertentangan moral dan memberi implikasi negatif kepada Pensijilan Halal Malaysia;

(c) Pelabelan serta pengiklanan produk dan perkhidmatan hendaklah tidak menggunakan pernyataan, lambang, istilah atau nama yang berunsurkan keagamaan dan ketuhanan seperti nama-nama Allah, makanan sunnah, dewa dan seumpamanya;

(d) Sebarang bentuk rajah atau iIustrasi haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah, berunsurkan keagamaan dan memberi implikasi negatif kepada Pensijilan Halal Malaysia hendaklah tidak digunakan;

(e) Pelabelan produk hendaklah sama sepertimana nama produk yang diisytiharkan dalam borang permohonan MYeHALAL;

(f) Label pembungkusan hendaklah dicetak dengan terang dan jelas serta tidak mudah dipadamkan;

(g) Sebarang tuntutan pada label produk hendaklah mematuhi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan;

(h) Pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan hendaklah mematuhi piawaian, perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan;

(i) Pelabelan produk yang diproses dan dibungkus dalam negara hendaklah menggunakan Bahasa Melayu dan boleh termasuk terjemahannya dalam mana-mana bahasa lain; dan

(j) Maklumat-maklumat yang berikut hendaklah dipamerkan pada label produk:

(i) Nama produk;
(ii) Nama dan alamat pemegang SPHM; dan
(iii) Logo Halal Malaysia berserta nombor MS dan nombor rujukan
fail (10 angka terakhir)

(7) Pengangkutan dan Pengedaran

(a) Pengangkutan dan pengedaran hendaklah untuk kegunaan bahan mentah dan produk halal sahaja;

(b) Pengangkutan yang bersesuaian hendaklah digunakan mengikut keperluan sifat bahan mentah dan produk (nature of product);

(c) Pengangkutan hendaklah dipastikan berada dalam keadaan bersih dan terkawal pada setiap masa;

(d) Kontrak atau perjanjian bertulis atau persetujuan bersama hendaklah diperolehi sekiranya pengangkutan dan pengedaran diuruskan oleh pihak ketiga. Keutamaan hendaklah diberikan kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan yang memiliki SPHM;

(e) Sebarang aktiviti pengangkutan dan pengedaran bahan mentah atau produk hendaklah mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(f) Proses sertu hendaklah dijalankan sekiranya pengangkutan tercemar
dengan najis mughallazah.

(8) Premis

(a) Kawasan premis termasuklah di pejabat, kantin dan tempat tinggal pekerja hendaklah dipastikan bebas daripada bahan mentah dan produk tidak halal seperti arak dan daging babi;

(b) Sistem pengawalan yang berkesan hendaklah diwujudkan untuk mengelakkan pencemaran dari premis pemprosesan produk tidak halal, loji kumbahan najis, pusat penternakan haiwan dan lain-lain;

(c) Premis hendaklah berpagar atau mempunyai mekanisme pengawalan bagi mencegah haiwan peliharaan atau liar, serangga dan haiwan perosak daripada memasuki atau berada di dalam kawasan premis tersebut;

(d) Premis hendaklah dalam keadaan baik, bersih dan kemas pada setiap masa;

(e) Lantai, dinding, siling, kipas, penghawa dingin, tingkap dan pintu hendaklah berkeadaan bersih dan tidak menyumbang kepada pencemaran;

(f) Alas bersesuaian seperti pallet hendaklah digunakan di kawasan pemprosesan untuk mengelakkan bahan mentah dan produk diletakkan secara terus di atas lantai;

(g) Pengudaraan dan pencahayaan hendaklah mencukupi dan bersesuaian;

(h) Lampu yang digunakan hendaklah dalam keadaaan baik, bersih dan berpenutup (jika berkaitan) di kawasan pemprosesan;

(i) Premis hendaklah memenuhi keperluan amalan pengilangan yang baik seperti VHM dan GMP;

(j) Pelan susun atur premis hendaklah disediakan. Susun atur hendaklah mengelakkan pencemaran silang, memudah aktiviti pembersihan, memudahkan proses pengeluaran atau pengendalian bahan mentah dan produk serta mematuhi kehendak keselamatan dan kesihatan pekerja;

(k) Tempat tinggal pekerja hendaklah tidak berada di dalam kawasan premis. Namun sekiranya perlu, hendaklah mematuhi keperluan yang berikut:

(i) Tinggal di bangunan berasingan dari kawasan pemprosesan; atau
(ii) Jika di bangunan yang sama, hendaklah mempunyai laluan masuk yang berasingan ke kawasan pemprosesan;
(iii) Tiada laluan terus dari tempat tinggal pekerja ke kawasan pemprosesan; dan
(iv) Mempunyai mekanisme pengawalan keluar masuk pekerja yang berkesan.

(l) Sistem saliran dan perparitan hendaklah berada dalam keadaan bersih dan diselenggara dengan sempurna;

(m) Premis pemprosesan dan pengendalian produk yang dipersijilkan halal hendaklah mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(n) Proses sertu hendaklah dijalankan sekiranya berlaku pencemaran
dengan najis mughallazah.

(9) Pekerja

(a) Jumlah pekerja Muslim hendaklah mencukupi mengikut keperluan kategori permohonan;

(b) Kebersihan diri hendaklah sentiasa berada pada tahap yang baik;

(c) Pakaian pekerja hendaklah bersih, sopan dan bersesuaian;

(d) Barangan peribadi, makanan dan minuman pekerja hendaklah tidak dibawa masuk ke kawasan pemprosesan;

(e) Kelengkapan pelindungan peribadi (personal protective equipment) yang bersesuaian dengan kehendak pekerjaan seperti penutup kepala, sarung tangan, pelindung muka, kaca mata keselamatan dan lain-lain hendaklah dibekalkan kepada setiap pekerja;

(f) Pekerja hendaklah tidak melakukan apa-apa perbuatan, kelakuan dan tindakan yang boleh menyebabkan pencemaran terhadap bahan dan produk seperti merokok atau meludah;

(g) Pelantikan dan pengambilan pekerja hendaklah mematuhi keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa; dan

(h) Hendaklah mengamalkan kod etika pekerja dan Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) sepertimana yang ditetapkan di bawah peraturan pihak berkuasa yang berkaitan.

(10) Sanitasi

(a) Pembersihan di kawasan pemprosesan hendaklah dilakukan secara berjadual;

(b) Persekitaran premis hendaklah berkeadaan bersih dan terhindar daripada faktor yang boleh mencemarkan premis;

(c) Kawalan makhluk perosak (pest control) hendaklah dilaksanakan secara berkala menggunakan kontraktor luar atau secara dalaman serta perlu direkodkan;

(d) Kemudahan mencuci tangan hendaklah disediakan dan berfungsi dengan baik serta mempunyai alatan sanitasi yang bersesuaian seperti sabun dan tisu;

(e) Tong sampah yang disediakan hendaklah mencukupi, berkeadaan baik dan berpenutup. Digalakkan menggunakan tong sampah daripada jenis bebas tangan (hands free atau foot pedal);

(f) Tandas hendaklah mempunyai prosedur pembersihan, berkeadaan bersih, tidak berbau, tidak rosak dan tidak terbuka secara langsung kepada kawasan pemprosesan; dan

(g) Prosedur pembuangan bahan dan pelupusan sisa buangan hendaklah diuruskan dengan baik, teratur serta mematuhi perundangan dan peraturan pihak berkuasa berkaitan.

(11) Kemudahan dan Kebajikan Pekerja

(a) Bilik atau ruang solat kepada pekerja Muslim hendaklah disediakan di lokasi yang munasabah, mempunyai keluasan yang bersesuaian dan diselenggara dengan baik;

(b) Pekerja Muslim hendaklah diberikan pelepasan dan diperuntukkan masa yang sewajarnya untuk menunaikan solat fardhu termasuklah solat Jumaat;

(c) Bilik atau ruang persalinan untuk pekerja hendaklah disediakan sewajarnya;

(d) Ruang makan atau rehat untuk pekerja perlulah disediakan dengan sewajarnya; dan

(e) Kemudahan penyimpanan barang peribadi pekerja hendaklah disediakan.

(12) Latihan

(a) Latihan kesedaran halal kepada pekerja baharu hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh lantikan;

(b) Latihan kesedaran halal hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga (3) tahun sekali kepada semua pekerja yang terlibat dengan aktiviti pemprosesan dan/ atau perkhidmatan;

(c) Latihan kesedaran halal hendaklah merangkumi skop berkaitan konsep halal dan prosedur Pensijilan Halal Malaysia, dan dikendalikan oleh organisasi atau individu yang berdaftar di bawah HPB JAKIM;

(d) Latihan kesedaran halal boleh dipanjangkan kepada pihak ketiga yang berkaitan seperti pemilik jenama, pembekal, penyedia pengangkutan dan lain-lain yang difikirkan perlu;

(e) Latihan kompetensi halal hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga (3) tahun sekali kepada semua ahli Jawatankuasa Halal Dalaman yang dilantik secara rasmi oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat;

(f) Latihan kompetensi halal hendaklah dikendalikan oleh Penyedia Latihan Halal yang berdaftar di bawah HPB JAKIM atau pihak berkuasa berwibawa yang merangkumi skop berikut:

(i) Pemahaman Syariah dan fatwa;
(ii) Malaysian Standard (MS);
(iii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia;
(iv) Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS);
(v) Perundangan berkaitan halal; dan
(vi) Ramuan kritikal (jika berkaitan).

(g) Pengurusan syarikat hendaklah menyediakan dana kewangan dan prasarana yang mencukupi bagi tujuan pelaksanaan latihan; dan

(h) Rekod latihan kesedaran halal dan latihan kompetensi hendaklah disimpan dengan baik, dikemas kini dan mudah untuk dirujuk semasa pengauditan atau pemantauan Pensijilan Halal Malaysia.

(13) Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS)

(a) Pembangunan, pelaksanaan dan pengekalan kawalan halal berdasarkan Manual MHMS 2020; dan

(b) Penyeliaan dan pemantauan berterusan terhadap keperluan Pensijilan Halal Malaysia hendaklah dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan kawalan halal dalaman syarikat.

(14) Dokumentasi dan Rekod

(a) Dokumen dan rekod hendaklah sentiasa disimpan dengan baik, dikemas kini dan mudah untuk dirujuk semasa pengauditan atau pemantauan Pensijilan Halal Malaysia;

(b) Dokumen dan rekod berkaitan halal hendaklah disediakan semasa pengauditan atau pemantauan Pensijilan Halal Malaysia dan tidak terhad kepada senarai yang berikut:

(i) Fail permohonan halal;
(ii) Fail MHMS;
(iii) Salinan sijil halal syarikat (jika berkaitan);
(iv) Rekod pekerja;
(v) Rekod latihan halal;
(vi) Rekod pembelian bahan mentah;
(vii) Rekod kawalan makhluk perosak;
(viii) Rekod pemprosesan produk;
(ix) Rekod pengauditan atau pemantauan Pensijilan Halal Malaysia terdahulu; dan
(x) Lain-lain dokumen dan rekod yang berkaitan keperluan Pensijilan Halal Malaysia.

(c) Dokumen dan rekod hendaklah disimpan sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga (3) tahun; dan

(d) Permohonan baharu SPHM hendaklah memiliki sekurang-kurangnya tiga (3) bulan dokumen dan rekod untuk tujuan pengauditan Pensijilan Halal Malaysia.

(15) Alat dan Unsur Penyembahan

Sebarang alat dan unsur penyembahan hendaklah tidak berada di
dalam kawasan pemprosesan.

(16) Pematuhan Undang-undang dan Peraturan

(a) Operasi perniagaan hendaklah mematuhi semua perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa;

(b) Manual MHMS 2020, MS, fatwa, prosedur dan pekeliling yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa berwibawa hendaklah dipatuhi; dan

(c) Pihak berkuasa berwibawa berkuasa menolak mana-mana permohonan atau mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan perlu ke atas syarikat dan/ atau pemohon yang didapati menyalahi perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa.

(17) Pengilangan Kontrak/ OEM

(a) Pihak yang menjalankan pengilangan kontrak/ OEM hendaklah membuat permohonan dan memperolehi SPHM di bawah skim pengilangan kontrak/ OEM sebelum layak menawarkan perkhidmatan pengilangan produk kepada syarikat lain; dan

(b) Mana-mana syarikat dan/ atau pemohon SPHM hendaklah memastikan pihak yang dilantik untuk menjalankan pengilangan produk secara kontrak memiliki SPHM di bawah skim pengilangan kontrak/ OEM terlebih dahulu.