Bahagian ini disebut oleh Jakim sebagai PROSEDUR NO.18 (7) – KEPERLUAN KHUSUS UNTUK SIJIL HALAL RUMAH SEMBELIHAN. Prosedur ini menerangkan 6 syarat khusus dan 1 syarat tambahan yang mesti dipenuhi untuk sijil halal ini.
6 SYARAT KHUSUS.
(a) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah terdiri daripada rumah sembelihan haiwan halal bagi tujuan komersial di bawah kategori poltri (seperti ayam, itik, puyuh, angsa, ayam belanda, burung unta dan burung merpati) dan ruminan (seperti kambing, biri-biri, rusa, lembu, kerbau dan unta); juga termasuklah arnab dan landak;
(b) Rumah sembelihan hendaklah memiliki Skim Pensijilan Veterinar atau surat perakuan atau surat sokongan yang masih sah daripada JPV (yang mana berkaitan);
(c) Setiap pengendali makanan hendaklah memiliki Sijil Latihan Pengendali Makanan daripada institusi yang diiktiraf oleh KKM;
(d) Setiap pengendali makanan hendaklah mendapatkan suntikan vaksinasi anti tifoid yang masih sah daripada pengamal perubatan berdaftar;
(e) Keperluan MS 1500:2009 Halal Food-Production, Preparation, Handling and Storage-General Guidelines (Second Revision), MS 1500:2019 Halal Food-General Requirements (Third Revison), Animal Rules 1962, Akta Binatang 1953 (Semakan 2006), Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993, Ordinance Sabah Slaughterhouse Rules 2004 (Sabah), Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta lain-lain perundangan dan peraturan terkini yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah dipatuhi;
(f) Keperluan pekerja Muslim hendaklah dipatuhi dan MHMS hendaklah dilaksanakan secara berkesan dengan memenuhi elemen yang berikut:
(i) Industri Besar dan Sederhana
a. Minimum dua (2) orang penyembelih dan seorang (1) pemeriksa halal, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas sepanjang tempoh operasi atau syif;
b. Eksekutif Halal hendaklah dilantik di setiap cawangan premis;
c. Jawatankuasa Halal Dalaman hendaklah ditubuhkan bagi premis dan setiap cawangan premis yang mempunyai pengurusan operasi berbeza; dan
d. HAS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.
(ii) Industri Kecil
a. Minimum seorang (1) penyembelih dan seorang (1) pemeriksa halal, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas sepanjang tempoh operasi atau syif;
b. Penyelia Halal hendaklah dilantik di setiap cawangan
premis; dan
c. IHCS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020
1 SYARAT TAMBAHAN.
Untuk Premis – Prosedur No.18(7)(g)(i)
a. Rumah sembelihan hendaklah dikhususkan untuk aktiviti penyembelihan haiwan halal dan sembelihan halal sahaja;
b. Rumah sembelihan hendaklah mempunyai kelengkapan untuk menjalankan penyembelihan haiwan, pemprosesan dan penyimpanan produk sebelum diedar
atau dijual; dan
c. Rumah sembelihan hendaklah direka bentuk dan dibina bagi memudahkan pembersihan dan penyahjangkitan serta mempunyai kemudahan dari segi ruang yang mencukupi seperti yang berikut:
i. tempat pemunggahan atau penurunan dan penyimpanan sementara;
ii. tempat penyembelihan;
iii. tempat pemprosesan;
iv. tempat penyimpanan sementara sebelum diagihkan;
v. tempat pengurusan sisa pepejal, sistem pengolahan efluen (SPE) dan sistem pengurusan enapcemar daripada SPE; dan
vi. stor penyimpanan peralatan dan pakaian.
Untuk Haiwan – Prosedur No.18(7)(g)(ii)
a. Haiwan hendaklah terdiri daripada haiwan halal sahaja;
b. Haiwan hendaklah berkeadaan sihat dan telah diluluskan oleh pihak berkuasa bertauliah yang berkenaan (JPV);
c. Haiwan hendaklah dipastikan masih bernyawa (hayah al-mustaqirrah) ketika penyembelihan dilakukan; dan
d. Haiwan hendaklah dikendalikan dengan baik dan memastikan kebajikan haiwan terpelihara.
Untuk Penyembelihan – Prosedur No.18(7)(g)(iii)
a. Penyembelih hendaklah seorang (1) Muslim yang waras, baligh, mengamalkan ajaran Islam, mempunyai pemahaman dan pengetahuan mengenai peraturan dan syarat asas berkaitan penyembelihan dalam Islam;
b. Penyembelih hendaklah memiliki Tauliah Penyembelih yang masih sah daripada MAIN/ JAIN;
c. Penyembelih hendaklah memastikan haiwan masih bernyawa (hayah al-mustaqirrah) ketika penyembelihan dilakukan;
d. Bilangan penyembelih hendaklah mencukupi untuk memastikan sembelihan dapat dilaksanakan dengan sempurna ke atas haiwan;
e. Penyembelih boleh bergilir atau bertukar tugasan dengan pemeriksa halal yang memiliki Tauliah Penyembelih yang masih sah; dan
f. Pertukaran penyembelih hendaklah dilakukan setelah sembelihan mencapai maksimum 3000 ekor bagi poltri dan maksimum 50 ekor bagi ruminan.
Untuk Pemeriksa Halal – Prosedur No.18(7)(g)(iv)
a. Pemeriksa hendaklah seorang (1) Muslim yang waras, baligh, mengamalkan ajaran Islam, mempunyai pemahaman dan pengetahuan mengenai peraturan dan syarat asas berkaitan penyembelihan dalam Islam;
b. Pemeriksa hendaklah memiliki Tauliah Penyembelih yang masih sah daripada MAIN/ JAIN sekiranya turut terlibat menjalankan penyembelihan;
c. Bilangan pemeriksa hendaklah mencukupi dan berada di tempat (checkpoint) yang bersesuaian di sepanjang proses penyembelihan bagi memastikan pemeriksaan dan penelitian dapat dilaksanakan dengan sempurna ke atas haiwan seperti hal yang berikut:
i. Haiwan masih bernyawa (hayah al-mustaqirrah) ketika sembelihan dilakukan;
ii. Saluran pernafasan (halkum) putus dengan sempurna;
iii. Saluran makanan (merih) putus dengan sempurna;
iv. Kedua-dua carotid artery dan jugular vein (wadajain) putus dengan sempurna;
v. Haiwan dikenal pasti telah mati sebelum aktiviti pemprosesan selanjutnya; dan
vi. Pelalian (stunning) tidak menyebabkan kematian dan/ atau keretakan pada tengkorak haiwan sembelihan.
d. Haiwan yang tidak sempurna disembelih dan tidak mematuhi syarat pelalian (stunning) hendaklah diasingkan serta dilabelkan sebagai tidak halal; dan
e. Pemeriksa boleh bergilir atau bertukar tugasan dengan penyembelih sekiranya memiliki Tauliah Penyembelih yang masih sah.
Untuk Alat Sembelihan – Prosedur No.18(7)(g)(v)
a. Alat sembelihan hendaklah tidak diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi;
b. Alat sembelihan hendaklah dikhususkan untuk menjalankan penyembelihan haiwan halal sahaja;
c. Pisau yang digunakan hendaklah tajam, bersesuaian dan mencukupi dengan kapasiti penyembelihan; dan
d. Pisau atau mata pisau hendaklah bersih daripada darah dan kotoran lain dengan menggunakan air yang menggalir.
Untuk Pengendalian – Prosedur No.18(7)(g)(vi)
a. Haiwan hendaklah dikendalikan dengan baik bagi memastikan kebajikan haiwan terpelihara sebelum dan semasa dibawa ke tempat sembelihan;
b. Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan niat kerana Allah dan bukan untuk tujuan selain daripada Allah;
c. Tasmiyah hendaklah dilafazkan ketika penyembelihan dilakukan;
d. Penyembelihan digalakkan mengadap kiblat;
e. Penyembelihan hendaklah dilaksana dengan memutuskan saluran pernafasan (halkum), saluran makanan (merih) dan kedua-dua carotid artery dan jugular vein (wadajain);
f. Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan memotong pada bahagian leher di bawah biji halkum bagi haiwan berleher pendek dan selepas biji halkum bagi haiwan berleher panjang;
g. Penyembelihan hendaklah dijalankan dengan sekali sembelihan sahaja. Pergerakan pisau yang berulang-ulang adalah dibenarkan selagi pisau tersebut tidak
diangkat;
h. Pendarahan haiwan hendaklah berlaku secara spontan dan sempurna;
i. Proses susulan bagi haiwan yang telah disembelih hendaklah dilakukan selepas haiwan tersebut telah dipastikan mati. Minor procedure berkaitan keselamatan makanan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti oesophageal clipping adalah
dibolehkan;
j. Tempoh pendarahan hendaklah mencukupi bagi memastikan haiwan mati dengan sempurna;
k. Haiwan yang telah disembelih hendaklah tidak dilonggok dan dibiarkan bertindihan bagi mengelakkan haiwan tersebut mati kelemasan;
l. Prosedur penyembelihan haiwan yang tidak mematuhi keperluan Pensijilan Halal Malaysia hendaklah dibangunkan dan pelaksanaannya adalah tidak terhad kepada kaedah yang berikut:
i. dikeluarkan dari aliran pemprosesan halal; atau
ii. dilupuskan; atau
iii. diproses di premis lain;
m. Haiwan sembelihan yang tidak mematuhi keperluan Pensijilan Halal Malaysia hendaklah dikenal pasti, diasing, ditanda dengan jelas dan dilabel sebagai tidak halal;
n. Proses penceluran bagi poltri hendaklah dilakukan selepas haiwan mati dengan sempurna; dan
o. Aktiviti yang terlibat dalam penyembelihan seperti mencelur, melapah, memotong dan membungkus hendaklah dijalankan di premis yang sama.
Untuk Pelalian (Stunning) – Prosedur No.18(7)(g)(vii)
a. Pelaksanaan pelalian (stunning) ke atas haiwan adalah tidak digalakkan;
b. Syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa hendaklah dipatuhi sekiranya pelalian (stunning) dijalankan;
c. Alat pelalian (stunning) hendaklah sentiasa di bawah penyeliaan pekerja Muslim yang terlatih dan dipantau secara berkala oleh pihak berkuasa berwibawa;
d. Panel kawalan pelalian (stunning) hendaklah sentiasa di bawah kawalan pihak yang diberi kuasa termasuklah perlu dikunci, tidak mudah diakses oleh lain-lain pihak
dan tidak mudah ubah laras tanpa kawalan;
e. Haiwan hendaklah dipastikan masih bernyawa (hayah al-mustaqirrah) sebelum menjalani pelalian (stunning);
f. Pelalian (stunning) hendaklah tidak menyebabkan haiwan mati atau mengalami kecederaan fizikal yang kekal;
g. Alat pelalian (stunning) hendaklah dikhususkan untuk kegunaan haiwan halal dan tidak digunakan untuk haiwan yang berada dalam kategori najis mughallazah;
h. Pelalian (stunning) hendaklah dilakukan sekali sahaja bagi setiap haiwan pada satu-satu masa;
i. Kaedah pelalian (stunning) yang dibenarkan hendaklah tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berwibawa; (Rujuk LAMPIRAN C)
j. Pelalian (stunning) jenis elektrik dan pneumatic percussive adalah dibenarkan;
k. Pelalian (stunning) jenis elektrik hendaklah digunakan di bahagian kepala sahaja di mana kedua-dua elektrod diletakkan pada bahagian kepala haiwan seperti kambing dan biri-biri;
l. Alat pelalian (stunning) jenis elektrik bagi poltri (seperti ayam dan itik) yang dibenarkan adalah jenis takungan air (waterbath) sahaja;
m. Kekuatan arus elektrik yang digunakan hendaklah diawasi oleh pekerja Muslim yang terlatih serta dipantau oleh pihak berkuasa berwibawa;
n. Alat pelalian (stunning) pneumatic percussive hendaklah digunakan untuk haiwan besar seperti lembu dan kerbau sahaja;
o. Tekanan udara yang digunakan pada alat pelalian (stunning) pneumatic percussive hendaklah tidak melebihi 225 psi dan hendaklah diselaraskan kepada kuasa minimum yang diperlukan semasa pelalian (stunning);
p. Kepala alat pelalian (stunning) pneumatic percussive hendaklah rata atau cembung, dilindungi kolar pelindung supaya kepala alat tersebut tidak keluar melebihi 3 mm;
q. Kepala haiwan hendaklah dipastikan tidak bergerak sebelum alat pelalian (stunning) pneumatic percussive dikenakan dan dihala tepat pada tulang dahi; dan
r. Alat pelalian (stunning) hendaklah dikalibrasi dan diselenggara secara berkala serta direkodkan.
Untuk Rekod Sembelihan – Prosedur No.18(7)(g)(viii)
a. Rekod sembelihan harian hendaklah disediakan dengan tepat, lengkap, dikemas kini dan mudah untuk dirujuk semasa pemeriksaaan Pensijilan Halal Malaysia; dan
b. Rekod sembelihan hendaklah mengandungi maklumat dan tidak terhad kepada yang berikut:
i. rekod penerimaan haiwan hidup;
ii. rekod bilangan haiwan disembelih;
iii. rekod sembelihan salah;
iv. rekod haiwan mati disebabkan pelalian
(stunning); dan
v. rekod haiwan dibuang (rejected atau condemned)