Skip to content

Syarat khusus sijil halal untuk pengilang kontrak/OEM.

Bahagian ini disebut oleh Jakim sebagai PROSEDUR NO.18 (8) – KEPERLUAN KHUSUS UNTUK SIJIL HALAL PENGILANG KONTRAK/OEM. Prosedur ini menerangkan 12 syarat khusus yang mesti dipenuhi untuk sijil halal ini.

(a) Syarikat dan/ atau pemohon yang menjalankan pengilangan kontrak/OEM hendaklah memperolehi SPHM di bawah skim pengilangan kontrak/ OEM sebelum layak menawarkan perkhidmatan pengilangan produk kepada syarikat lain;

(b) Skim ini tidak boleh digunakan sebagai perakuan halal ke atas produk yang dikilangkan dan setiap produk yang ingin mengunakan logo halal hendaklah membuat permohonan SPHM mengikut skim yang berkaitan;

(c) Syarikat dan/ atau pemohon SPHM di bawah skim ini hendaklah mengeluar atau mengendali atau menguruskan produk halal sahaja berdasarkan skim Pensijilan Halal Malaysia yang berikut:
(i) Skim produk makanan dan minuman;
(ii) Skim produk kosmetik;
(iii) Skim produk farmaseutikal;
(iv) Skim produk barang gunaan;
(v) Skim rumah sembelihan; dan
(vi) Skim produk peranti perubatan.

(d) Premis hendaklah memiliki Perakuan Pendaftaran Premis Makanan yang masih sah daripada BKKM (jika berkaitan);

(e) Rumah sembelihan hendaklah memiliki Skim Pensijilan Veterinar atau surat perakuan atau surat sokongan yang masih sah daripada JPV (jika berkaitan);

(f) Premis hendaklah memiliki Lesen Pengilang yang masih sah daripada NPRA (jika berkaitan);

(g) Premis hendaklah memiliki Lesen Establismen yang masih sah daripada MDA (jika berkaitan);

(h) Kontrak atau perjanjian bertulis atau persetujuan bersama untuk mengilang atau menghasilkan produk di antara syarikat pengilang dan syarikat pelanggan atau pemilik jenama (brand owner) hendaklah disediakan;

(i) Syarikat dan/ atau pemohon SPHM hendaklah memastikan pihak yang dilantik untuk menjalankan pengilangan produk secara kontrak memiliki SPHM terlebih dahulu;

(j) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah menggemukakan permohonan yang berasingan bagi setiap perkhidmatan pengilangan kontrak/ OEM; Contohnya pengilangan kontrak/ OEM produk
makanan dan produk farmaseutikal hendak dibuat permohonan secara berasingan;

(k) Keperluan MS yang berkaitan serta lain-lain perundangan dan peraturan terkini yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah dipatuhi; dan

(l) Keperluan pekerja Muslim hendaklah dipatuhi dan MHMS hendaklah dilaksanakan secara berkesan dengan memenuhi elemen yang berikut:

(i) Industri Besar dan Sederhana
a. Minimum dua (2) orang pekerja Muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas di kawasan pemprosesan sepanjang tempoh operasi atau syif;
b. Eksekutif Halal hendaklah dilantik di setiap cawangan premis;
c. Jawatankuasa Halal Dalaman hendaklah ditubuhkan bagi premis dan setiap cawangan premis yang mempunyai pengurusan operasi berbeza; dan
d. HAS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.

(ii) Industri Kecil
a. Minimum seorang (1) pekerja Muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas di kawasan pemprosesan sepanjang tempoh operasi atau syif;
b. Penyelia Halal hendaklah dilantik di premis; dan
c. IHCS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.

(iii) Industri Mikro
a. Minimum seorang (1) pekerja Muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas di kawasan pemprosesan sepanjang tempoh operasi atau syif; dan
b. IHCS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.