Bahagian ini disebut oleh Jakim sebagai PROSEDUR NO.18 (6) – KEPERLUAN KHUSUS UNTUK SIJIL HALAL PERKHIDMATAN LOGISTIK. Prosedur ini menerangkan 9 syarat khusus dan 1 syarat tambahan yang mesti dipenuhi untuk sijil halal ini.
9 SYARAT KHUSUS.
(a) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah terdiri daripada logistik pengangkutan, penggudangan dan peruncitan sahaja; termasuklah perkhidmatan logistik bersepadu (integrated logistics services) dan fasiliti rantaian sejuk (cold chain facilities);
(b) Syarikat dan/ atau pemohon yang menyimpan barang-barang berduti hendaklah memiliki lesen penggudangan yang berkaitan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (jika berkaitan);
(c) Pengangkutan container bulk, bulk liquid dan pengangkutan umum kenderaan komersial yang digunakan dalam pengangkutan container bulk, bulk liquid dan pengangkutan am (general haulage and freight), hendaklah didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
dan mendapatkan permit pengangkutan barang daripada agensi berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (jika berkaitan);
(d) Syarikat ejen pengiriman barang (freight forwarding) atau ejen kastam dan ejen perkapalan hendaklah mendapatkan lesen yang berkaitan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (jika berkaitan);
(e) Syarikat dan/ atau pemohon yang menjalankan penyimpanan produk daging dan hasilan daging hendaklah memiliki permit import daripada JPV (jika berkaitan);
(f) Syarikat dan/ atau pemohon kategori peruncitan hendaklah terdiri daripada syarikat yang menjalankan pengedaran atau perdagangan produk dan peruncit makanan seperti kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar raya;
(g) Maklumat pengangkutan, penggudangan dan peruncitan yang dimohon SPHM hendaklah diisytiharkan secara terperinci di dalam borang permohonan MYeHALAL;
(h) Keperluan MS 2400-1:2019 Halal Supply Chain Management System-Part 1: Transportation-General Requirements (First Revison), MS 2400-2:2019 Halal Supply Chain Management System-Part 2: Warehousing-General Requirements (First Revison), MS 2400-3:2019
Halal Supply Chain Management System-Part 3: Retailing-General Requirements (First Revison) serta lain-lain perundangan dan peraturan terkini yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah dipatuhi; dan
(i) Keperluan pekerja Muslim hendaklah dipatuhi dan MHMS hendaklah dilaksanakan secara berkesan dengan memenuhi elemen yang berikut:
(i) Industri Besar dan Sederhana
a. Minimum dua (2) orang pekerja Muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas di kawasan perkhidmatan logistik sepanjang tempoh operasi atau syif;
b. Eksekutif Halal hendaklah dilantik di setiap cawangan premis;
c. Jawatankuasa Halal Dalaman hendaklah ditubuhkan bagi premis dan setiap cawangan premis yang mempunyai pengurusan operasi berbeza; dan
d. HAS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.
(ii) Industri Kecil
a. Minimum seorang (1) pekerja Muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas di kawasan perkhidmatan logistik sepanjang tempoh operasi atau syif;
b. Penyelia Halal hendaklah dilantik di premis; dan
c. IHCS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.
(iii) Industri Mikro
a. Minimum seorang (1) pekerja Muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap hendaklah dilantik dan bertugas di perkhidmatan logistik sepanjang tempoh operasi atau syif; dan
b. IHCS hendaklah dibangun dan dilaksana berdasarkan Manual MHMS 2020.
1 SYARAT TAMBAHAN.
Untuk Pengangkutan – Prosedur No.18(6)(j).
(i) Keseluruhan rangkaian pengangkutan hendaklah tidak mengangkut dan mengendalikan sebarang bahan dan/ atau produk yang dikategorikan sebagai najis mughallazah;
(ii) Pengangkutan yang dipersijilkan halal hendaklah mengangkut dan mengendalikan produk halal sahaja;
(iii) Sistem pengesanan kenderaan hendaklah dibangun dan dilaksanakan secara efektif;
(iv) Pengangkutan yang dipersijilkan halal hendaklah dikenal pasti dan ditandakan dengan jelas;
(v) Keseluruhan rangkaian pengangkutan bagi perkhidmatan penghantaran makanan hendaklah dipersijilkan halal; dan
(vi) Pekerja termasuklah pemandu hendaklah tidak membawa makanan dan/ atau minuman, haiwan dan apa-apa bahan tidak halal ketika bertugas.
Untuk Pergudangan – Prosedur No.18(6)(k).
(i) Keseluruhan kawasan premis hendaklah tidak menyimpan sebarang bahan dan/ atau produk yang dikategorikan sebagai najis mughallazah;
(ii) Lot yang dipersijilkan halal hendaklah menyimpan dan mengendalikan produk halal sahaja;
(iii) Sistem pengurusan penggudangan hendaklah dibangun dan dilaksanakan secara efektif;
(iv) Lot yang dipersijilkan halal hendaklah dikenal pasti dan diasingkan secara fizikal; dan
(v) Penyimpanan bagi bahan dan/ atau produk yang dipersijilkan halal dan produk halal yang tidak dipersijilkan (di lot yang dipersijilkan halal) hendaklah diwujudkan pengasingan dan pelabelan yang jelas.
Untuk Peruncitan – Prosedur No.18(6)(l).
(i) Keseluruhan kawasan premis hendaklah tidak mengendali, mempamer dan menjual sebarang bahan dan/ atau produk yang dikategorikan sebagai najis mughallazah;
(ii) Permohonan peruncitan bagi kategori pengedar (distributor) dan pedagang (trader) hendaklah mengendali dan menjual bahan dan/ atau produk halal sahaja;
(iii) Permohonan peruncitan bagi kategori peruncit makanan hendaklah mengendali, mempamer dan menjual bahan dan/atau produk halal sahaja di seksyen yang dipersijilkan halal;
(iv) Peruncit makanan yang mengendali, mempamer dan menjual bahan dan/ atau produk tidak halal (kecuali najis mughallazah), seksyen tidak halal tersebut hendaklah mempunyai mekanisme kawalan yang berkesan meliputi:
a. kawasan berasingan dan ditandakan dengan jelas;
b. penyimpanan berasingan dan ditandakan dengan jelas;
c. troli dan/ atau bakul khusus di seksyen tersebut;
d. kaunter pembayaran khusus di seksyen tersebut; dan
e. dikendalikan oleh orang bukan Islam sahaja.
(v) Sistem pengurusan peruncitan hendaklah dibangun dan dilaksanakan secara efektif; dan
(vi) Susun atur barangan hendaklah mengikut kategori yang telah ditetapkan seperti bahan mentah basah, kering dan sebagainya.