Skip to content

Panduan dari Jakim untuk Mohon Sijil Halal dan Logo Halal.

Sijil halal di Malaysia dikeluarkan oleh Jakim dan tertakluk pada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan saya sendiri guna Manual ini sebagai panduan setiap kali saya check status sijil halal sesebuah tempat makan.

Bagaimana artikel ini boleh bantu anda?

UNTUK ANDA YANG BERNIAGA: Melalui artikel ini; anda akan faham syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jakim untuk dapat sijil halal untuk perniagaan anda serta proses yang perlu anda lalui. Saya turut sediakan no telefon serta email untuk Jakim dan setiap Bahagian Halal Jabatan Agama Negeri untuk mudahkan urusan anda.

BAGI ANDA SEBAGAI PENGGUNA: Artikel ini juga bantu anda jadi pengguna Islam yang lebih bijak sebab anda tahu syarat-syarat sijil halal dan skop setiap sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim. Jadi anda boleh menilai sendiri; samada info yang anda baca dan lihat itu benar atau tidak.

Untuk makluman anda; selain website JomHalal.org ini; saya turut sediakan khidmat check status halal melalui email. Kedua-duanya ini ditaja oleh beberapa individu iaitu Saudara Rizal, Saudari Bibah, Saudari NZA, Saudari Rosni Danif, Saudara Razin dan 10 hamba Allah yang lain. Anda boleh juga jadi penaja; hanya RM30 sebulan, melalui link di bawah.

Hubungi saya jika anda ada soalan mengenai artikel ini atau perlukan bantuan untuk check status halal tempat makan tertentu.

Apa itu halal?

Penjelasan di bawah ini dirumuskan berdasarkan info dari Jakim serta Takrifan Penggunaan Istilah Halal menurut Akta Perihal Dagangan 1975.

Dari segi istilah, perkataan Halal berasal dari istilah bahasa Arab yang bermaksud dibenarkan, atau secara khususnya, dibenarkan oleh undang-undang Islam.

Tempat-tempat makan yang telah peroleh sijil halal biasanya akan guna istilah ini “Halal” dan “Dijamin Halal”.

Sebagai peniaga, apabila perkataan-perkataan ini atau perkataan yang mempunyai niat yang sama (iaitu untuk tunjukkan makanan itu halal di makan oleh orang Islam) mestilah bermaksud merujuk kepada makanan yang menepati syarat-syarat ini.

1. Tidak berpunca daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang diharamkan kepada orang Islam oleh undang-undang Islam, atau haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

2. Tidak mengandungi apa-apa bahan yang dianggap tidak suci dalam undang-undang Islam.

3. Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan atau perkakas yang tidak bebas daripada kekotoran seperti yang ditakrifkan oleh undang-undang Islam.

4. Pada peringkat penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan pula, mestilah tidak bersentuhan dengan atau disimpan berhampiran apa-apa jenis makanan yang tidak memenuhi kehendak 3 syarat yang dinyatakan sebelum ini.

Sebagai peniaga, setelah peroleh sijil halal, anda perlu penuhi syarat-syarat ini kerana ia adalah satu bentuk undang-undang (Akta Perihal Dagangan 1975) dan juga satu tanggungjawab kerana sijil halal ialah simbol “trust” atau “percaya”. Pengguna lihat tempat makan anda ada sijil halal dan “trust” atau “percaya” anda telah penuhi kesemua 4 syarat diatas.

Logo halal yang diiktiraf Jakim.

Menurut Jakim, apabila istilah “logo halal” digunakan, ia merujuk kepada logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Logo yang diiktiraf mestilah mempunyai ciri-ciri ini:-

1. Mempunyai bintang lapan puncak di tengah-tengah bulatan.

2. Ada perkataan tulisan halal dalam bahasa Arab di tengah-tengah bintang.

3. Di bawah tulisan Arab ini pula tertulis, perkataan “HALAL” dalam huruf Roman.

4. Perlu ada perkataan “Malaysia” yang ditulis dalam huruf Roman dan dalam bahasa Arab dalam bulatan logo.

5. Kemudian, kedua-dua perkataan ini (iaitu perkataan Malaysia dalam tulisan Roman dan Arab) dipisahkan dengan dua bintang kecil (bintang lima puncak).

Maksudnya; Jakim hanya iktiraf logo halal seperti di bawah ini.

logo halal

Syarat-syarat yang mesti dipenuhi untuk Sijil Halal Premis Makanan.

Rujukan: Prosedur No. 17 dan Prosedur No 18.

Permohonan untuk sijil halal di bahagikan kepada 9 kategori:

  1. Produk makanan dan minuman,
  2. Produk kosmetik,
  3. Produk farmaseutikal,
  4. Premis makanan,
  5. Produk barang gunaan,
  6. Perkhidmatan logistik,
  7. Rumah sembelihan,
  8. Pengilangan kontrak/OEM,
  9. Produk peranti perubatan.

Sebagai pemilik premis makanan; kategori permohonan yang sesuai untuk anda ialah Kategori 4 iaitu PREMIS MAKANAN.

Permohonan untuk “KATEGORI 4: PREMIS MAKANAN” ini pula tertakluk pada “SYARAT UMUM”, “SYARAT KHUSUS” serta beberapa “SYARAT TAMBAHAN”.

Maksudnya; anda mesti penuhi syarat-syarat yang terkandung dalam syarat umum, syarat khusus dan syarat tambahan ini; barulah premis anda layak dipertimbangkan untuk sijil halal.

SYARAT UMUM yang mesti dipatuhi merangkumi syarat-syarat untuk:

1. Bahan mentah.

Sebagai contoh; bahan mentah yang bersumberkan haiwan dan/atau berasaskan hasilan haiwan hendaklah dipersijilkan halal yang masih sah daripada pihak berkuasa berwibawa atan badan pensijilan halal yang diiktiraf.

2. Produk, menu dan perkhidmatan.

Sebagai contoh; produk yang dihasilkan hendaklah tidak menyerupai sebarang bentuk haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah dan berunsurkan keagamaan.

3. Pemprosesan.

Sebagai contoh; kawasan pemprosesan hendaklah bebas daripada sebarang bahan mentah atau produk tidak halal atau diragui status halal.

4. Penyimpanan.

Sebagai contoh; penyimpanan hendaklah dikhususkan untuk bahan mentah dan produk halal saja.

5. Peralatan dan perkakasan.

Sebagai contoh; peralatan dan perkakasan hendaklah digunakan untuk pemprosesan dan pengedaran bahan mentah, produk dan perkhidmatan halal saja.

6. Pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan.

Sebagai contoh; pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan hendaklah tidak melanggar prinsip-prinsip syarak.

7. Pengangkutan dan pengedaran.

Sebagai contoh; pengangkutan dan pengedaran hendaklah untuk kegunaan bahan mentah dan produk halal sahaja.

8. Premis.

Sebagai contoh; kawasan premis termasuklah di pejabat, kantin dan tempat tinggal pekerja hendaklah dipastikan bebas dari bahan mentah dan produk tidak halal seperti arak dan daging babi.

9. Pekerja

Sebagai contoh; jumlah pekerja Muslim hendaklah mencukupi mengikut keperluan kategori permohonan.

10. Sanitasi

Sebagai contoh; pembersihan di kawasan pemprosesan hendaklah dilakukan secara berjadual.

11. Kemudahan dan kebajikan pekerja.

Sebagai contoh; pekerja Muslim hendaklah diberikan pelepasan dan peruntukan masa yang sewajarnya untuk menunaikan solat fardhu termasuklah solat Jumaat.

12. Latihan.

Latihan kesedaran halal hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga (3) tahun sekali kepada semua pekerja yang terlibat dengan aktiviti pemprosesan dan/atau perkhidmatan.

13. Sistem Pengurusan Halal.

Sebagai contoh; selia dan pantau untuk pastikan premis makanan anda mematuhi syarat-syarat sijil halal.

14. Dokumentasi dan rekod.

Sebagai contoh; pastikan rekod-rekod berkaitan pensijilan halal disimpan dengan rapi dan mudah untuk dirujuk bagi tujuan audit oleh Jakim.

15. Alat dan unsur penyembahan (sebarang alat dan unsur penyembahan hendaklah tidak berada di dalam kawasan pemprosesan).

16. Pematuhan undang-undang dan peraturan.

Maksudnya; operasi perniagaan hendaklah mematuhi semua perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa.

Manakala SYARAT KHUSUS yang perlu dipatuhi khusus untuk sijil halal premis makanan termasuk perkara-perkara di bawah ini:

1. Pendaftaran Premis Makanan.

Memiliki perakuan pendaftaran Premis Makanan yang masih sah.

2. Sijil Pengendalian Makanan.

Setiap pengendali makanan hendaklah memiliki Sijil Latihan Pengendali Makanan daripada institusi yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

3. Vaksinasi.

Setiap pengendali makanan hendaklah mendapatkan suntikan vaksinasi anti tifoid yang masih sah daripada pengamal perubatan berdaftar.

4. Untuk Dapur Berpusat (Central Kitchen).

Jika anda menggunakan dapur berpusat (central kitchen); central kitchen tersebut hendaklah disahkan halal dulu di bawah KATEGORI 1: PRODUK MAKANAN DAN MINUMAN; barulah boleh memohon sijil halal untuk KATEGORI 4 ini iaitu sijil halal untuk PREMIS MAKANAN.

5. Untuk Premis Berangkai (Chained Restaurants).

Jika anda mempunyai premis makanan berangkai (chained restaurants); anda hendaklah memohon sijil halal bagi setiap premis di bawah rangkaian anda itu DAN permohonan hendaklah diuruskan secara berpusat.

6. Menu Makanan.

Menu yang diistiharkan pada borang permohonan hendaklah sama seperti yang dipaparkan pada menu. Anda juga mestilah memohon pengesahan halal untuk KESEMUA MENU yang disediakan di premis makanan anda. Menu yang tidak diisytiharkan hendaklah dibuat permohonan penambahan menu.

Seperti dimaklumakan awal tadi; premis makanan anda juga perlu mematuhi beberapa SYARAT TAMBAHAN; dan syarat tambahan ini pula bergantung kepada jenis premis makanan:

Restoren atau Kafe, Kantin dan Kedai Bakeri.

Sekiranya anda mengusahakan Restoren atau Kafe, Kantin dan Kedai Bakeri; ini syarat-syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

1. Minimum 1 orang pekerja Muslim.

2. Melantik seorang penyelia halal. Oleh kerana Manual Jakim tidak menetapkan syarat khusus untuk jawatan penyelia; anda boleh lantik pekerja Muslim tadi sebagai penyelia juga.

3. Makanan dan minimum hendaklah disediakan di dapur yang telah disahkan halal.

4. Jika bilangan restoren atau kafe, kantin dan bakeri anda ialah 3 atau lebih dari 3 cawangan DAN menggunakan jenama yang sama; hendaklah juga memenuhi syarat tambahan untuk “Premis Makanan Berangkai”; lihat di bawah ini.

Premis Makanan Berangkai (Chained Restaurants).

Sekiranya anda mengusahakan premis makanan berangkai atau chained restaurants; ini antara syarat-syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

1. Minimum 1 orang pekerja Muslim.

2. Eksekutif Halal hendaklah dilantik di peringkat pengurusan syarikat atau dapur berpusat.

3. Jawatankuasa Halal Dalaman hendaklah ditubuhkan.

4. Halal Assurance System (Sistem Jaminan Halal) hendaklah diwujudkan dan dilaksanakan di setiap premis makanan.

Katering dan/atau khidmat Penyedian Makanan dan Dapur Pusat Konvensyen.

Sekiranya anda mengusahakan Katering dan/atau khidmat Penyedian Makanan dan Dapur Pusat Konvensyen; ini syarat-syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

1. Bergantung pada saiz perniagaan anda (industri kecil atau industri besar); anda perlu menggaji samada 1 atau 2 orang pekerja Muslim.

2. Makanan dan minuman hendaklah disediakan di dapur yang telah disahkan halal.

3. Permohonan sijil halal anda hendaklah merangkumi keseluruhan dapur premis.

Premis Bergerak (Food Truck).

Sekiranya anda mengusahakan Premis Bergerak (Food Truck); ini syarat-syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

1. Minimum 1 orang pekerja Muslim.

2. Penyediaan dan pemprosessan makanan hendaklah disediakan di premis bergerak berkenaan atau di dapur yang telah disijilkan halal.

3. Premis bergerak ini beroperasi hanya dikawasan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

4. Jika bilangan premis bergerak (food truck) anda ialah 3 atau lebih dari 3 DAN menggunakan jenama yang sama; hendaklah juga memenuhi syarat tambahan untuk “Premis Makanan Berangkai”; lihat penerangan sebelum ini.

Kafeteria di Medan Selera.

Sekiranya anda mengusahakan Kafeteria di Medan Selera; permohonan sijil halal sepatutnya diuruskan oleh pihak pengurusan medan selera.

Kiosk.

Sekiranya anda mengusahakan kiosk; ini syarat-syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

1. Minimum 1 orang pekerja Muslim.

2. Makanan dan minimum hendaklah disediakan di dapur yang telah disijilkan halal.

3. Jika bilangan kiosk anda ialah 3 atau lebih dari 3 DAN menggunakan jenama yang sama; hendaklah juga memenuhi syarat tambahan untuk “Premis Makanan Berangkai”; lihat penerangan sebelum ini.

Caj bayaran.

Rujukan: Prosedur No. 7 dan Prosedur No 9.

Ada 2 jenis fi yang perlu dibayar, iaitu:

Fi Pemprosesan.

Fi pemprosesan adalah antara RM20 hingga RM200.

Fi Pensijilan.

Untuk permohonan sijil halal di bawah kategori no. 4 iaitu PREMIS MAKANAN; fi pensijilan yang dikenakan ialah RM 100 setahun.

Namun; jika anda mengusahakan “Katering dan/atau khidmat Penyedian Makanan dan Dapur Pusat Konvensyen”; fi pensijilan adalah antara RM 100 hingga RM 700 bergantung pada nilai perolehan tahunan anda.

Cara mohon sijil halal.

Permohonan sijil halal boleh dibuat terus ke portal MyeHalal.

LANGKAH PERTAMA.

Pergi ke website Jakim > halal.gov.my.

Selepas itu; scroll ke bawah dan klik pada “System MyeHalal”.

Kemudian; klik pada “Domestic”.

Klik “Pendaftaran Akaun Syarikat”.

Pastikan permohonan anda ialah untuk “Domestik Kilang Dalam Negara.”

Selepas itu, klik “Setuju” untuk Terma dan Polisi Perkhidmatan.

Mula isi butiran syarikat/perniagaan anda.

LANGKAH KEDUA.

Selepas anda selesai daftar; anda perlu tunggu pengesahan pendaftaran (Jakim panggil ini sebagai pengesahan akaun pengguna).

Jakim maklumkan proses ini akan mengambil masa tidak lebih dari 24 jam.

Sekiranya anda ada masalah; hubungi no telefon ini (Kaunter Proses): 03-8892 5002 atau 5003.

LANGKAH KETIGA.

Anda akan dimaklumkan oleh Jakim untuk hantar dokumen berkaitan dalam tempoh 5 hari bekerja.

Setelah Jakim puas hati dengan semua dokumen dan info yang anda berikan; Jakim akan beritahu anda buat bayaran pemprosesan. Bayaran ini hendaklah dijelaskan dalam tempoh 14 hari bekerja.

LANGKAH KEEMPAT.

Tunggu makluman audit dari Jakim.

Jakim mungkin akan maklumkan anda satu audit akan dibuat pada premis anda.

Jika audit diperlukan and perlu tunggu “Laporan Audit Lapangan” dari Jakim.

LANGKAH KELIMA.

Jakim akan bentangkan permohonan anda ke Panel Pengesahan Halal Malaysia DAN jika lulus anda akan terima sijil halal untuk syarikat anda.

Khidmat Nasihat dari Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.

Saya sertakan juga di sini no telefon serta email untuk Jakim dan Bahagian Pengurusan Halal bagi setiap Jabatan Agama Negeri. Anda boleh berhubung terus untuk khidmat nasihat serta panduan cara mohon sijil halal khusus untuk perniagaan anda.

Jakim

Tel: 03 – 8892 5000 / 5200
Email: pr_halal@islam.gov.my

Johor

Tel: 07 – 207 6360 / 6361
Email: pengurusanhalaljohor@gmail.com

Kedah

Tel: 04 – 774 5515 / 5525
Email: halalkedah@gmail.com

Kelantan

Tel: 09 – 744 3633 samb. 143
Email: jaheaik@kelantan.gov.my

Melaka

Tel: 06 – 333 3333 / 3600 / 3612 / 3610
Email: halalmelaka@yahoo.com.my

Negeri Sembilan

Tel: 06 – 766 4234
Email: jheains.ns.gov.my

Pahang

Tel: 09 – 427 1195
Email: halaljaippahang@gmail.com

Perlis

Tel: 04-9794450 / 04 – 976 4420
Email: halalhabperlis@gmail.com / jaips@perlis.gov.my

Perak

Tel: 05 – 506 0450 / 0336
Email: halaljaipk@gmail.com

Pulau Pinang

Tel: 04 – 250 5451
Email: ehalal@penang.gov.my

Sabah

Tel: 088 – 213 745
Email: muishalalhub@gmail.com

Sarawak

Tel: 082 – 507 150 / 30
Email: halaljais.sijil@sarawak.gov.my

Selangor

Tel: 03 – 5514 3696 / 3721 / 3724 / 3600
Email: halal@jais.gov.my

Terengganu

Tel: 09 – 632 5200
Email: halaljheat@gmail.com

Nota tambahan.

Tamat Tempoh & Pembaharuan.

Setiap sijil halal ada tarikh tamat tempoh. Jadi anda perlu sentiasa perharui sijil halal anda dan perlu mulakan proses pembaharuan ini sebelum tarikh sah sijil itu tamat.

Sebarang permohonan selepas sijil tamat; akan dianggap Jakim sebagai permohonan baru (maksudnya perniagaan perlu mengikut tatacara seperti waktu mula-mula memohon).

Audit oleh Jakim.

Perniagaan anda akan di audit oleh Jakim untuk pastikan syarat-syarat sijil halal benar-benar dipenuhi.

Anda akan diberitahu tarikh audit diadakan, contohnya melaui emel atau panggilan telefon. Anda tidak dibenarkan untuk meminda tarikh tanpa sebab-sebab munasabah yang boleh diterima.

Ada 2 jenis audit yang akan dibuat oleh Jakim, iaitu.

1. Audit Kecukupan (Document Audit). Skop audit ini untuk tentukan samada dokumen-dokumen berkaitan lengkap dan memenuhi syarat sijil.

2. Audit Lapangan (Field Audit). Untuk audit ini, sekurang-kurangnya 2 pegawai akan dihantar ke lokasi perniagaan.

Diakhir audit, pegawai audit akan tentukan samada perniagaan anda mematuhi sepenuhnya syarat-syarat sijil halal atau ada syarat yang tidak dipatuhi.

Syarat yang tidak dipatuhi ini (atau mungkin juga “concerns” dari pegawai audit) akan direkodkan sebagai Lapuran Ketidakakuran atau Non Conformance Report (NCR). Jika ada; anda mesti menjawab NCR ini dalam tempoh yang ditetapkan.

Ada 3 jenis Ketidakakuran (NCR),

  1. Ketidakakuran Kecil,
  2. Ketidakakuran Besar,
  3. Ketidakakuran serius.

Status Sijil Halal: Dalam tempoh Pembetulan.

Perniagaan anda akan diletakkan Jakim dalam status ini jika didapati ada melanggar syarat sijil tetapi dianggap sebagai “Ketidakakuran Kecil”.

Sebagai contoh, perniagaan anda tukar pembekal bahan mentah yang baru tanpa maklumkan pada Jakim terlebih dahulu, dengan syarat pembekal baru itu ada sijil halal yang diiktiraf.

Atau mungkin anda tambah bahan mentah baru untuk menu yang didaftarkan pada sijil halal tanpa memaklumkan Jakim terlebih dahulu.

Status Sijil Halal: Sijil Di Tarik Balik.

Sijil halal anda akan ditarik balik jika perniagaan anda melakukan kesalahan Besar dan Serius (dipanggil Jakim sebagai Ketidakakuran Besar dan Ketidakakuran Serius).

Contoh Ketidakakuran Besar.

1. Perniagaan anda didapati melakukan kesalahan kecil (Ketidakakuran Kecil) berulang-ulang pada lebih dari 2 audit.

2. Menukar pembekal bahan mentah tanpa maklumkan terlebih dahulu Jakim dan status halal pembekal baru itu diragui.

3. Mempamerkan sijil halal pada lokasi yang sijilnya telah tamat tempoh.

Contoh Ketidakakuran Serius.

1. Perniagan anda dianggap melakukan kesalahan besar (Ketidakakuran Besar) jika gagal untuk melakukan pembetulan seperti yang dikehendaki dalam tempoh yang ditetapkan.

2. Mencampurkan penggunaan atau penyediaan bahan halal dengan yang tidak halal.

3. Produk tidak halal dibawa masuk ke premis yang diiktiraf halal oleh Jakim.

4. Untuk sembelihan, proses sembelihan itu tidak menepati kehendak syarak. Sebagai contoh, prosess stunning yang terus membawa kematian pada haiwan sembelihan.

5. Perubahan pengurusan atau nama syarikat tanpa memaklumkan terlebih dahulu Jakim.

Ada soalan?

Saya harap penerangan yang saya berikan ini sedikit sebanyak membantu anda. Jika anda ada soalan; email terus ke saya; insyaAllah saya cuba dapatkan info berkenaan untuk anda.