Skip to content

Cara perbaharui atau renew sijil halal sedia ada.

Bahagian ini disebut oleh Jakim sebagai PROSEDUR NO.22 – PROSEDUR PEMBAHARUAN. Prosedur ini relevan untuk anda yang telah ada sijil halal dan ingin perbaharui sijil halal tersebut.

(1) Permohonan SPHM hendaklah dilakukan secara dalam talian (online) melalui sistem MYeHALAL di www.halal.gov.my;

(2) Permohonan pembaharuan SPHM hendaklah dikemukakan seawal enam (6) bulan dan selewat-lewatnya tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh SPHM;

(3) Permohonan pembaharuan SPHM yang telah tamat tempoh hendaklah dikategorikan sebagai permohonan baharu;

(4) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah merujuk Prosedur 21 (5), Manual Prosedur ini berkenaan keperluan pengisian borang permohonan MYeHALAL dan keperluan yang berikut;
(a) Sebarang penambahan produk, premis makanan dan menu baharu hendaklah tidak dibenarkan; dan
(b) Sebarang pengemaskinian maklumat berkaitan nama produk, jenama dan menu hendaklah mengemukakan makluman rasmi kepada pihak berkuasa berwibawa.

(5) Ringkasan bahan mentah atau ramuan hendaklah dikemukakan untuk memudahkan pengenalpastian perubahan dalam permohonan pembaharuan dan permohonan terdahulu; (Rujuk LAMPIRAN F)

(6) Permohonan yang tidak lengkap serta tidak mengikut skim dan kategori Pensijilan Halal Malaysia yang betul hendaklah ditolak oleh pihak berkuasa berwibawa;

(7) Permohonan hendaklah diuruskan oleh pihak berkuasa berwibawa berdasarkan skim Pensijilan Halal Malaysia dan alamat pengilang. Syarikat dan/ atau pemohon boleh mengetahui pihak yang menguruskan permohonan berdasarkan maklumat yang tertera di akaun pengguna sistem MYeHALAL;

(8) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah tidak dibenarkan membuat permohonan pertukaran pihak berkuasa berwibawa yang menguruskan permohonan SPHM;

(9) Permohonan bagi dapur berpusat di bawah skim produk makanan dan minuman serta skim premis makanan kategori premis makanan berangkai hendaklah diuruskan oleh JAKIM;

(10) Permohonan bagi dua (2) atau lebih premis makanan yang menggunakan jenama yang sama dan beroperasi di negeri yang berlainan hendaklah diuruskan oleh JAKIM;

(11) Dokumen sokongan yang lengkap hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa berwibawa (seperti yang dinyatakan di dalam sistem MYeHALAL pemohon) dalam tempoh lima (5) hari bekerja setelah borang permohonan MYeHALAL dihantar secara dalam talian (online);

(12) Bayaran fi hendaklah dijelaskan dalam 14 hari bekerja atau suatu tempoh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa setelah menerima surat bayaran fi; dan

(13) Pengauditan lapangan hendaklah dijalankan setelah bayaran fi diterima oleh pihak berkuasa berwibawa.