Bahagian ini disebut oleh Jakim sebagai PROSEDUR NO.21 – PROSEDUR PERMOHONAN BARU. Prosedur ini relevan untuk anda yang belum ada sijil halal sebelum ini atau sijil halal telah tamat tempoh.
(1) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah memenuhi syarat dan kriteria permohonan sebagaimana yang dinyatakan di bawah Prosedur 5, Manual Prosedur ini;
(2) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah mendaftar akaun pengguna sistem MYeHALAL di www.halal.gov.my sebelum membuat permohonan SPHM. Kelayakan pendaftaran akaun pengguna sistem MYeHALAL adalah berdasarkan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia atau Dokumen Penubuhan di bawah Akta
Parlimen atau Kementerian masing-masing dan lain-lain agensi Kerajaan (yang mana berkaitan); (Rujuk LAMPIRAN D)
(3) Pendaftaran akaun pengguna sistem MYeHALAL akan disahkan oleh pihak berkuasa berwibawa dalam tempoh 24 jam hari bekerja;
(4) Permohonan SPHM hendaklah dilakukan secara dalam talian (online) melalui sistem MYeHALAL setelah akaun pengguna disahkan;
(5) Borang permohonan MYeHALAL hendaklah diisi dengan lengkap dan menepati keperluan yang berikut:
(a) Skim dan kategori permohonan hendaklah dipilih dengan betul;
(b) Semua maklumat hendaklah diisi dengan tepat, terperinci dan menyeluruh merangkumi maklumat syarikat dan/ atau pemohon, bahan mentah atau ramuan, pengeluar, produk, menu, perkhidmatan dan lain-lain yang berkaitan;
(c) Bahan mentah atau ramuan dan produk yang menggunakan kod hendaklah disertakan nama sebenar (bukan hanya trade name);
(d) Setiap permohonan hendaklah tidak melebihi 100 produk bagi semua skim Pensijilan Halal Malaysia kecuali skim premis makanan, skim perkhidmatan logistik dan skim pengilangan kontrak/ OEM;
(e) Nama produk atau menu yang didaftarkan hendaklah sama seperti yang tertera pada label pembungkusan dan/ atau paparan menu; dan
(f) Nama produk atau menu dalam bahasa asing hendaklah diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan/ atau Bahasa Inggeris.
(6) Dokumen sokongan yang lengkap hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa berwibawa (seperti yang dinyatakan di dalam sistem MYeHALAL pemohon) dalam tempoh lima (5) hari bekerja setelah borang permohonan MYeHALAL dihantar secara dalam talian (online); (Rujuk LAMPIRAN E).
(7) Pihak berkuasa berwibawa hendaklah menolak permohonan dan dokumen sokongan yang tidak lengkap serta tidak mengikut skim dan kategori Pensijilan Halal Malaysia yang betul;
(8) Permohonan hendaklah diuruskan oleh pihak berkuasa berwibawa berdasarkan skim Pensijilan Halal Malaysia dan alamat pengilang. Syarikat dan/ atau pemohon boleh mengetahui pihak berkuasa berwibawa yang menguruskan permohonan berdasarkan maklumat yang tertera di akaun pengguna sistem MYeHALAL;
(9) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah tidak dibenarkan membuat permohonan pertukaran pihak berkuasa berwibawa yang menguruskan permohonan SPHM;
(10) Permohonan bagi dapur berpusat di bawah skim produk makanan dan minuman serta skim premis makanan kategori premis makanan berangkai hendaklah diuruskan oleh JAKIM;
(11) Permohonan bagi dua (2) atau lebih premis makanan yang menggunakan jenama yang sama dan beroperasi di negeri yang berlainan hendaklah diuruskan oleh JAKIM;
(12) Pihak berkuasa berwibawa hendaklah berurusan secara terus dengan syarikat dan/ atau pemohon tanpa melalui pihak ketiga atau orang tengah seperti konsultan;
(13) Semakan permohonan hendaklah dijalankan setelah semua dokumen sokongan diterima oleh pihak berkuasa berwibawa dan tempoh semakan bergantung kepada jumlah produk atau menu dan premis yang dimohon;
(14) Bayaran fi hendaklah dijelaskan dalam tempoh 14 hari bekerja atau suatu tempoh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa setelah menerima surat bayaran fi;
(15) Pembayaran fi yang lewat diterima oleh pihak berkuasa berwibawa akan menyebabkan permohonan tersebut ditolak dan syarikat dan/ atau pemohon hendaklah mengemukakan semula permohonan baharu;
(16) Sebarang penambahan produk, menu, premis makanan dan perkhidmatan serta perubahan pendaftaran syarikat hendaklah tidak dibenarkan setelah surat bayaran fi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berwibawa;
(17) Syarikat dan/ atau pemohon hendaklah mendaftar akaun pengguna MYeHALAL dan mengemukakan permohonan baharu sekiranya berlaku perubahan pada pendaftaran syarikat;
(18) Pengauditan lapangan hendaklah dijalankan setelah bayaran fi diterima oleh pihak berkuasa berwibawa; dan
(19) Syarikat dan/ atau pemohon yang layak berdasarkan setiap skim Pensijilan Halal Malaysia yang ditawarkan adalah seperti yang berikut:
(a) Skim produk makanan dan minuman
(i) Pengusaha atau pengeluar;
(ii) Pengusaha pembungkusan semula;
(iii) Pengusaha dapur berpusat; dan
(iv) Pemilik jenama.
(b) Skim produk kosmetik
(i) Pengusaha atau pengeluar;
(ii) Pengusaha pembungkusan semula; dan
(iii) Pemilik jenama.
(c) Skim produk farmaseutikal
(i) Pengusaha atau pengeluar;
(ii) Pengusaha pembungkusan semula; dan
(iii) Pemilik jenama.
(d) Skim premis makanan
(i) Pengusaha hotel (dapur dan/ atau restoran);
(ii) Pengusaha restoran atau kafe;
(iii) Pengusaha kantin;
(iv) Pengusaha kedai bakeri;
(v) Pengusaha premis makanan berangkai;
(vi) Pengusaha katering dan/ atau khidmat penyajian makanan;
(vii) Pengusaha dapur pusat konvensyen;
(viii) Pengusaha premis bergerak;
(ix) Pengusaha kafeteria di medan selera; dan
(x) Pengusaha kiosk.
(e) Skim produk barang gunaan
(i) Pengusaha atau pengeluar;
(ii) Pengusaha pembungkusan semula; dan
(iii) Pemilik jenama.
(f) Skim perkhidmatan logistik
(i) Pengusaha pengangkutan (darat, laut dan udara);
(ii) Pengusaha penggudangan; dan
(iii) Pengusaha peruncitan.
(g) Skim rumah sembelihan
(i) Pengusaha rumah sembelihan ayam atau lain-lain poltri atau arnab;
(ii) Pengusaha rumah sembelihan kambing, biri-biri, rusa, lembu, kerbau atau unta; dan
(iii) Pengusaha rumah sembelihan lain-lain haiwan halal (tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berwibawa).
(h) Skim pengilangan kontrak/ OEM. Pengilang; dan/ atau pengusaha pembungkusan semula bagi skim yang berikut:
a. Skim produk makanan dan minuman;
b. Skim produk kosmetik;
c. Skim produk farmaseutikal;
d. Skim produk barang gunaan;
e. Skim rumah sembelihan; dan
f. Skim produk peranti perubatan.
(i) Skim produk peranti perubatan
a. Pengusaha atau pengeluar;
b. Pengusaha pembungkusan semula; dan
c. Pemilik jenama.